JUN 2025

TYT, Premier Hadir Ke Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025


KUCHING, 1 Jun – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi diringi bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan isteri YABhg Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), hari ini.

Turut memeriahkan suasana Gawai Dayak termasuk barisan kepimpinan negeri termasuk Timbalan -Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki; serta menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri Kabinet Negeri Sarawak bersama para kenamaan lain.

Simbolik perasmian majlis telah disempurnakan oleh TYT dengan memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai tanda rasmi pembukaan Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025.

Majlis dimeriahkan dan diserikan dengan persembahan kebudayaan termasuk alunan alat muzik tradisional, tarian etnik serta nyanyian oleh artis-artis tempatan yang menampilkan kepelbagaian warisan masyarakat Dayak di Sarawak.